Boleh Nak Panggil Isteri Sama Macam Ibu Sendiri, Asalkan Jangan .. – PU Azman

Persoalan yang sebegini mungkin nampak ringan tapi silap tafsir boleh mendatangkan pelbagai kecelaruan dalam agama. Sekarang ini pelbagai jenis panggilan diberikan untuk si dia, misalnya sayang, baby, bae dan tidak terkecuali ada yang turut memanggil mama, ibu, dan ummi. Tapi cukupkah sekadar memanggil panggilan yang sama seperti ibu ini menyebabkan jatuhnya hukum zihar? Pendakwah bebas yang semakin dikenali, PU Azman telah memuat naik status di Instagram miliknya bagi menjawab persoalan ini. 

BACA: Musykil Waktu Berbuka Semasa Di Awanan, PU Azman Jawab Persoalan Wan Sharmila

PU Azman atau nama sebenarnya Azman Syah Bin Alias memang banyak memuat naik gambar atau status di Instagram berupa kenyataan tentang kemusykilan agama. Terbaharu, beliau sekali lagi telah menerangkan hukum zihar dengan lebih tepat. Menurutnya, zihar sebenarnya adalah perbuatan menyamakan punggung atau mana-mana bahagian tubuh isteri dengan punggung atau mana-mana bahagian tubuh wanita yang haram dikahwininya seperti ibu dan nenek.

Jika berlaku penyamaan tersebut maka barulah isteri itu dianggap haram disetubuhi sebagaimana haram untuknya menyetubuhi ibu kandungnya. Hal ini turut diperjelaskan dengan contoh ucapan yang menyebabkan jatuhnya hukum zihar. 

Suami: punggung awak sama macam punggung ibu saya

Bezakan zihar dengan budaya panggilan

PU Azman juga menjelaskan jika berlaku konteks ucapan seperti di atas, maka ianya telah jatuh kepada hukum zihar memandangkan pada zaman jahiliyah juga ianya dianggap sebagai bentuk talak. Oleh itu, perbuatan ini adalah haram dan berdosa besar. Ianya berbeza dengan panggilan gelaran seharian yang tidak tergolong dalam hukum zihar. Netizen perlunya membezakan hakikat hukum ini dengan budaya panggilan. 

Walaupun ada sebahagian ulama mengatakan panggilan tersebut adalah makhruh kerana bimbang dipersamakan dengan zihar tetapi sebahagian ulama juga mengharuskan panggilan itu dengan alasan mendidik anak memanggil ibunya sebegitu. Kesimpulannya, suami tidak ada masalah untuk panggil isteri dengan panggilan tersebut dengan niat dan syarat yang betul. 

Sumber: IG PU Azman

Apa Komen Anda?