Ganjaran ‘Payung Emas’ Hanya Alasan Penunggang Agama Untuk Menipu Para Isteri!

Seringkali masyarakat kita bercerita ataupun membuat ulasan tentang topik poligami, ungkapan seperti ‘si isteri akan memperoleh ganjaran payung emas’ pastinya akan timbul. Walaupun alasan itu dianggap sudah lapuk, namun itulah ayat yang sering menjadi ‘modal’ para suami untuk menyatakan hasrat membuka cawangan baru kepada partner masing-masing. Begitu pun, tahukah anda semua bahawa ayat tersebut cuma rekaan semata-mata?

BACA: Jangan Takut Jadi Janda, Kalau Perangai Suami Sebijik Ustaz Hamadi!

Payung emas itu alasan penunggang agama untuk tipu isteri

Menerusi tweet yang dikongsikan oleh pendakwah popular di media sosial yang dikenali sebagai Ustaz Ad Dien baru-baru ini, dia mendakwa bahawa ayat cliche tersebut adalah palsu. Jelasnya, ayat itu tidak pernah wujud dalam mana-mana sumber sahih agama. Status berkenaan pantas mendapat perhatian netizen dan telah diulangkicau hampir 20 ribu kali oleh para pengguna laman tersebut.

Payung emas langsung tak benar…tak diketahui asal-usulnya

Hakikatnya, ganjaran payung emas di akhirat yang sering menjadi bualan masyarakat ini pernah diulas oleh beberapa pendakwah terkemuka. Terdahulu, penceramah bebas iaitu Da’i Wan Dazrin berkata yang dia sendiri tidak tahu dari mana datangnya kenyataan itu. Pun begitu, bekas peserta rancangan realiti terbitan TV3 ini juga sempat berpesan kepada para suami yang mengamalkan poligami agar sentiasa berlaku adil serta bertanggungjawab terhadap semua isteri.

Banyak lagi ayat Al-Qur’an & hadis yang terangkan kelebihan hidup rumah tangga

Dalam pada itu, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, iaitu Mufti Wilayah Persekutuan juga pernah merungkai perkara ini menerusi satu posting di Facebook rasminya beberapa tahun lalu. Ujar beliau, ungkapan ‘payung emas’ adalah satu perspektif yang tidak benar. Di samping itu, dia turut berkongsi potongan ayat dalam Al-Qur’an yang menyentuh tentang alam perkahwinan serta hadis yang menyatakan kelebihan seorang isteri yang taat kepada suaminya.

Sumber: Twitter AdDien90, FB Mufti Wilayah Persekutuan & mStar

Apa Komen Anda?