Kahwin, Hamil & Raih Master – Wanita Ini Syukur Dapat Rezeki ‘Combo Pack’ 2019

Apabila berbicara soal impian, pasti rata-rata kita mempunyai target untuk mencapai banyak matlamat dalam hidup masing-masing kan? Pun begitu, realitinya bukan mudah untuk sampai ke puncak kerana sesuatu kejayaan akan diiringi bersama halangan dan cabaran yang tidak terduga. Akan tetapi, itu bukanlah alasan pun sebenarnya. Demi merealisasikan impian, seseorang individu itu perlulah mempunyai motivasi seterusnya berusaha dengan konsisten tanpa menoleh semula ke belakang selepas mengatur langkah pertama.

BACA: Hampir Putus Asa Lepas Kehilangan Anak, Wanita Tabah Ini Berjaya Genggam PhD!

“Combo pack rezeki!”

Baru-baru ini, kisah mengenai seorang wanita yang telah berjaya menggapai hampir kesemua perkara yang diimpikan telah mendapat perhatian di Twitter. Jika sesetengah wanita mungkin pernah mempunyai pengalaman berkahwin dan melahirkan anak pada tahun yang sama, namun Nur Qutreen Nada Binti Mahamud ini turut berjaya menggenggam Ijazah Sarjana (Master) pada tahun ini. Posting berkenaan nyata menjadi viral apabila telah diulangkicau lebih daripada 3 ribu kali selain menerima banyak pujian daripada netizen.

Sewaktu ditemuramah, wanita berusia 26 tahun ini memaklumkan kepada Erin Sakura bahawa semua kejayaan itu bukanlah datang bergolek. Sebaliknya ia adalah hasil daripada pengorbanan dan komitmen yang sangat tinggi, di samping sokongan daripada orang sekeliling.

Saya mula sambung Master dalam kursus ‘Integrated Marketing Communication‘ di USM sejak September 2017 dan masa tu pun kami belum tunang lagi. Awal tahun ni memang tak menang tangan dah sebab selain masuk semester terakhir, saya juga nak prepare untuk kahwin pada bulan Mac termasuk juga bekerja. Semua tu memang betul-betul kena pandai bahagikan masa & rancang perbelanjaan. Kalau tak jaga, semua boleh terabai begitu saja.

Wanita kelahiran Terengganu ini turut mendedahkan bahawa kunci kejayaan dalam apa jua bidang sekalipun adalah pengurusan masa yang bagus. Dalam pada itu, dia turut berseloroh bahawa tahun 2019 bakal menjadi lebih lengkap apabila menantikan kelahiran anak sulung tidak lama lagi memandangkan usia kandungannya kini sudah lebih 7 bulan.

Tipulah kalau tak pernah terfikir macam nak stop belajar kan? Tapi berkat doa & motivasi keluarga serta bakal suami waktu tu, mereka suruh saya habiskan Master tahun ini juga. Sampaikan masa honeymoon di Jepun saya terpaksa bawa laptop untuk selesaikan thesis. Alhamdulillah, walaupun stress nak selesaikan semua perkara dalam satu-satu masa tapi saya enjoy sangat semua proses tu. Kalau ada rezeki memang plan nak sambung PhD. Tapi buat masa ini nak fokus dekat baby dulu sebab InshaAllah dijangka bersalin pada hujung bulan November dan bakal jadi penutup terindah tahun 2019. 

Meskipun tidak menyangka bahawa tweet tersebut akan mendapat perhatian ramai, namun Qutreen berharap agar ianya boleh menjadi inspirasi buat ramai lagi pihak yang mungkin berada dalam situasi lebih kurang sama dengannya. 

Nasihat saya buat wanita di luar sana yang sedang bekerja sambil belajar serta mengandung dalam masa yang sama, teruskan perjuangan kalian! Di samping perbanyakkan doa, sentiasalah berada dalam kalangan orang yang positif agar sentiasa bersemangat untuk habiskan sesuatu perkara. Ibarat kata cikgu saya, “Carilah ilmu seperti kita akan hidup selamanya. Dan beramal lah seperti esok kita akan pergi.”

Sumber: Twitter QutreenNada

Apa Komen Anda?