Putus Dengan Bekas Peserta Dewi Remaja, Mas Khan Didakwa Ada Skandal Lain?

Di awal kemunculannya dalam industri hiburan, bekas finalis pertandingan Dewi Remaja 2019, Fazreen Fazera sering dilihat bersama dengan pelakon drama popular, Mas Khan. Difahamkan mereka sudah 4 tahun menjalinkan hubungan cinta dan pernah berhajat untuk mengikat pertunangan dengannya pada tahun hadapan. Namun nampaknya perkara itu tidak kesampaian gara-gara hubungan mereka didakwa telah terputus di tengah jalan.

BACA: Netizen Terkejut Tekaan Nabil Tentang Dewi Remaja Dalam MeleTop Memang Terjadi!

Saya tak mahu ada pihak ketiga dalam hubungan

Pendedahan itu dibuat oleh gadis berusia 21 tahun ini di laman Instagram miliknya semalam apabila ada individu bertanyakan mengenai status terkini hubungan mereka. Menurut jawapan yang diberikan oleh Faz, dia mengumumkan yang mereka sudah tidak lagi bersama buat masa ini. Malah dia turut menyatakan perasaan tidak selesa dengan kehadiran pihak ketiga, yang didakwa menjadi punca kepada perpisahan ini.

Ada niat berbalik tak? Mestilah!

Gara-gara menimbulkan rasa simpati dalam kalangan peminat yang suka melihat mereka bersama, ada yang turut bertanyakan sama ada mereka akan berbaik di masa akan datang. Tanpa berselindung, Faz terus menyatakan yang dia masih lagi sayang kepada pelakon filem ‘Misteri Dilaila’ itu , selain menyatakan yang Mas sentiasa berada di tempat istimewa dalam hatinya. 

Ekoran daripada respon yang cukup positif tersebut, ada peminat yang memberikan kata-kata pujian menerusi mesej di laman Instagram gadis itu. Hal ini kerana Faz telah memberikan jawapan yang cukup matang meskipun hubungan cinta mereka berdua tidak berakhir seperti yang didambakan. Dalam pada itu, Mas Khan masih belum memberikan sebarang kenyataan yang berkaitan status hubungan mereka setakat ini.

Sumber: IG fazreenfazera, Media Hiburaniluminasi.com

Apa Komen Anda?